KIDEX Dijangka Beroperasi 2023, Tarik Pelaburan RM17.5 Bilion – Hasni

JOHOR BAHRU, 26 Ogos – Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex) di Sedenak yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023, mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion menerusi syarikat yang berkaitan dengan pengurusan data dan perkomputeran.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata projek yang dimajukan TPM Technopark Sdn Bhd (TPM Technopark), iaitu sebuah syarikat milik Johor Corporation (JCorp) di tapak seluas 745 ekar itu (301 hektar), menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan.

Kidex merupakan komponen dalam pembangunan Kulai Industrial Park (KIP) yang melibatkan kawasan seluas 7,290 ekar dan merupakan hab data terkini di Malaysia, ia dijangka akan menarik pelabur Revolusi Industri 4.0.

“Projek ini (Kidex) mampu menjadi katalis pertumbuhan industri data dan mengangkat Sedenak sebagai hab pusat data serantau pada masa depan.

“Dalam taklimat semasa lawatan saya ke Kidex baru-baru ini, sasaran pelabur adalah dalam kalangan pengusaha industri berkaitan pusat data perkomputeran awan,” kata Hasni menerusi satu kenyataan hari ini.

Lawatan beliau ke Kidex turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim serta wakil beberapa agensi lain.

Setakat ini, Kidex berjaya menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara, terutamanya China, United Kingdom dan Jepun yang telah datang membuat tinjauan tapak.

Kidex katanya, mempunyai kelebihan daripada segi sokongan logistik dan perhubungan yang cekap seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai selain kedudukan strategik Johor sebagai jiran Singapura.

IRDA dalam sesi taklimat pada lawatan berkenaan, memaklumkan bahawa Kidex adalah salah satu inisiatif bagi merealisasikan agenda pembangunan fizikal Bandaraya Pintar Iskandar Malaysia (BPIM) yang mana BPIM meliputi enam dimensi iaitu Tadbir Urus Pintar, Rakyat Pintar, Mobiliti Pintar, Alam Sekitar Pintar, Ekonomi Pintar dan Kehidupan Pintar, katanya.

“Infrastruktur perhubungan data yang kuat dan stabil sudah pasti akan memberi faedah kepada semua pemegang taruh di koridor ekonomi Iskandar Malaysia seperti kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat.

“Menurut IRDA, usaha ini bukan sahaja dapat membantu mencapai wawasan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan, malah merancakkan lagi agenda Digital Johor di peringkat negeri dan Rancangan Pembangunan Sistem Gentian dan Perhubungan di peringkat nasional,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.