Parlimen Kecoh Isu Projek Rundingan Terus RM6.61 Bilion Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – ‘Riuh bagai pasar’, mungkin itu yang boleh digambarkan suasana persidangan Dewan Rakyat petang semalam apabila isu berhubung projek rundingan terus semasa di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditimbulkan.

Ia susulan makluman oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020.

“Semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan,” menurut Tengku Zafrul yang sekali gus mengundang pertikaman lidah antara Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bangun mencelah meminta Tengku Zafrul untuk mengulangi semula kenyataan berhubung projek rundingan terus itu.

Suasana kemudian bertukar hingar apabila Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang merupakan bekas Menteri Kewangan di bawah pentadbiran PH bangun ‘membela diri’.

Menurut Lim : “Saya terbuka sekiranya YB nak berikan senarai tender-tender yang diberikan bukan secara tender terbuka …ia diluluskan oleh kabinet sepertimana perdana menteri sekarang pun tahu”.

Perbalahan sesama Ahli Parlimen berterusan sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang ketika itu mengendalikan sesi berkenaan meminta kesemua mereka duduk dan tidak membenarkan sebarang pencelahan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang juga ketua pembangkang kemudian berdiri dan berkata beliau setuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam sama ada pada zaman PH atau Perikatan Nasional.

Tidak terhenti setakat itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula bangun bagi menafikan kenyataan Lim.

“Kita ada Menteri Kewangan memberikan butiran jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara sama. Jumlahnya RM6 bilion dan tidak betul seperti Yang Berhormat Bagan (Lim) kata kabinet tahu …mana ada pembentangan senarai tender,” katanya.

Keadaan kecoh itu berlanjutan sehingga mengundang Azhar untuk sekali lagi memberi peringatan kepada kesemua Ahli Parlimen yang bangun bercakap serentak, untuk duduk, namun tidak diendahkan beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang berterusan mengasak meminta penjelasan daripada Tengku Zafrul.

“Tolong duduk! amaran pertama, amaran kedua, duduk, duduk, amaran ketiga, duduk! Saya mahu kamu (Beruas) keluar dewan sekarang sehingga esok baru boleh datang,” tegas Azhar yang turut memberi amaran kepada mana-mana Ahli Parlimen berdepan tindakan sama sekiranya masih mengganggu perjalanan persidangan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.