Murid 12 Tahun Ke Bawah Dibenar Hanya Pakai Pelindung Muka – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dibenarkan untuk hanya memakai pelindung muka ketika ke sekolah, tanpa perlu memakai pelitup muka pakai buang, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini dan dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM), katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun penggunaan pelindung muka bersama pelitup muka adalah digalakkan.

“Jika mereka pakai pelindung muka dan pakai pelitup muka itu lebih baik, tetapi kalau tiada pelitup muka, ada pelindung muka sahaja pun sudah boleh dianggap pelindung kepada kesihatan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata kelonggaran itu diberikan kerana memikirkan kos pembelian pelitup muka pakai buang yang agak membebankan keluarga pelajar yang miskin, terutamanya apabila mereka mempunyai anak yang ramai.

“Ini untuk permudahkan dan memberi sedikit ruang dan kelonggaran kepada pelajar-pelajar miskin sebab saya difahamkan harga pelindung muka adalah lebih kurang RM3 hingga RM5 sekeping dan boleh diguna berbulan-bulan.

“Untuk membeli pelitup muka pakai buang, ini agak membebankan bagi keluarga yang kurang berupaya dan keluarga miskin… kalau sekeping RM1, kalau anak lima orang, sudah RM5 kos untuk sehari,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun KKM perlu mengeluarkan garis panduan mengenai langkah untuk membersih dan mencuci pelindung muka bagi memastikan pelindung muka selamat digunakan untuk jangka masa yang lama. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.