Lebih Ramai Pakar Genetik Diiperlukan Untuk Kesan Talasemia Di Peringkat Awal – Adham Baba

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Negara memerlukan lebih ramai lagi pakar genetik untuk mengesan pesakit talasemia di peringkat awal, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata langkah ini sekali gus dapat mengawal dan mencegah penyakit talasemia dalam kalangan masyarakat khasnya mereka dalam kategori pembawa.

“”Penyakit talasemia boleh dicegah sebenarnya jika kita dapat kesan pembawa di peringkat awal. Mereka (pembawa) ini jika berkahwin, kemungkinan ada antara anak mereka akan menghidap talasemia. Jadi kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Kerana itu kita perlu lahirkan pakar dalam bidang genetik untuk mengesan sebelum mereka (pembawa) ini mengandung atau berkahwin. Jadi, saya galakkan universiti untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam kajian genetik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laporan “Malaysia Thalassemia Registry (MTR) 2019” di Hospital Tunku Azizah di sini, hari ini.

Jika pembawa penyakit talasemia termasuk talasemia major masih terus ingin berkahwin atau mengandung, kementerian akan memberikan nasihat kemandirian seperti pengambilan dan pemindahan sel stem, pemindahan darah serta tulang sum-sum untuk jangka hayat yang lebih lama, kata Dr Adham.

Talasemia major adalah penyakit akibat faktor genetik, iaitu sel darah merah tidak berfungsi dengan normal dan pesakit memerlukan pemindahan darah setiap tiga atau empat minggu bagi memastikan jumlah sel darah itu di tahap mencukupi.

Beliau berkata kementerian sentiasa memantau termasuk membuat ujian pada pesakit talasemia dalam mendapatkan data terkini bagi membantu mereka berkaitan aspek pencegahan dan rawatan.

“Menerusi laporan MTR, terdapat 8,178 pesakit talasemia sehingga Oktober 2019 ini dan data raya ini kita kumpul dan gunakan mengenal pasti dan membantu mereka menggunakan kecanggihan teknologi dan inovasi yang ada,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pelancarannya, Dr Adham berkata MTR telah berjaya memetakan taburan geografi bagi kategori diagnosis talasemia dalam kalangan penduduk pelbagai bangsa di negara ini sekali gus membantu penggubal polisi di kementerian merancang dan melakukan pemerhatian program talasemia.

Menurut beliau, kejayaan Malaysia dalam perawatan talasemia memberi impak kepada peningkatan kos perkhidmatan perubatan dan kerana itu pentingnya penekanan diberikan kepada aspek pencegahan melalui ujian saringan bagi pengesanan pembawa talasemia.

“Tiada negara yang mampu mengekalkan program kebangsaan seumpama ini jika kelahiran baharu kes talasemia tidak dibendung kerana ini akan mengakibatkan pertambahan kos dalam sektor kesihatan. Oleh itu aspek pencegahan perlu diberi penekanan,” tambahnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.