Mohd Sharim Angkat Sumpah Adun Chini

KUANTAN, 24 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Mohd Sharim Md Zain mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Mohd Sharim, 41, yang merupakan generasi kedua Felda Chini, Pekan dekat sini, mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai lalu, Mohd Sharim yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 12,650 undi selepas memperoleh 13,872 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin yang memperoleh 1,222 undi manakala Mohd Shukri Mohd Ramli sekadar mendapat 137 undi.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Ishak seterusnya mengucapkan tahniah kepada Mohd Sharim atas kemenangannya pada PRK DUN Chini dan mengingatkan beliau untuk menggalas amanah serta kepercayan yang diberikan rakyat dengan baik.

“Semoga Yang Berhormat (Mohd Sharim) dapat berkhidmat dengan jujur dan cemerlang demi kebaikan penduduk di Chini dan di Pahang secara amnya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.