COVID-19, PKPP Sepatutnya Bukan Halangan Rakyat Sambut Merdeka – Dr Adham

KOTA TINGGI, 24 Ogos – Penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini, sepatutnya bukan menjadi penghalang bagi rakyat menyambut hari kemerdekaan negara ke-63, pada 31 Ogos ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, rakyat perlu terus menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara, walaupun dalam suasana negara berdepan dengan COVID-19 dan pembudayaan norma baharu.

“Walaupun penularan COVID-19 telah memberikan banyak kesan langsung kepada kesihatan awam, alam pekerjaan, perniagaan, ekonomi negara, persekolahan, pengajian tinggi, aktiviti keagamaan, hubungan keluarga, malah menguji silaturahim dan persahabatan di negara ini, ia bukan menjadi alasan untuk lunturnya semangat patriotik dalam kalangan rakyat bagi mengenang detik kemerdekaan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata demikian pada penutup program Semarak Merdeka Kota Tinggi Prihatin 2020, bersempena Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, semalam.

Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Penerangan Johor.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Johor Sabarudin Yeop Hamza dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Tinggi Fauzan Mohd Sabalas.

Program dua hari bermula semalam itu disertai seramai 150 belia dari Majlis Belia Daerah Kota Tinggi menerusi konvoi kenderaan sejauh 200 kilometer ke lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tenggara, Kota Tinggi serta Pengerang.

Konvoi tersebut menganjurkan pelbagai aktiviti menyedarkan masyarakat bagi menjalani kehidupan dalam suasana norma baharu serta kaedah mematuhi prosedur operasi standard PKPP.

Dr Adham, berkata terdapat negara yang mengumumkan sudah hampir kehabisan ikhtiar untuk membendung wabak COVID-19 dan ada yang hampir kehabisan sumber untuk mempertahankan ekonomi negara mereka.

Namun katanya, Malaysia telah berupaya membantu rakyat dengan pelbagai inisatif termasuk menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara dan rakyat telah mendapat manfaat dari pemulihan ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan itu.

“Dari itu, pemulihan keadaan begini turut menuntut rakyat untuk sama-sama berganding bahu, prihatin dan menggalas tanggungjawab bersama, dalam memastikan COVID-19 dapat dibendung dan tanah air tercinta ini perlu terus terpelihara dari semua kesan negatif wabak itu.

“Malaysia Prihatin sebagai tema bagi Hari Kebangsaan ke-63 dan Hari Malaysia tahun ini, bertepatan dengan tanggungjawab yang telah kita tunjukkan ketika mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.