BN Labuan Akan Adakan Mesyuarat Bincang PRN Sabah

LABUAN, 24 Ogos – Barisan Nasional (BN) Labuan akan mengadakan mesyuarat dengan PAS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk memperkukuh kerjasama mereka khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang, kata Pengerusi BN Labuan Senator Datuk Bashir Alias.

“Kami telah mengadakan perbincangan dalam Muafakat Nasional (UMNO dan PAS) tentang perlunya mengadakan mesyuarat BN bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pilihan raya negeri Sabah dan pilihan raya umum.

“Mesyuarat mengenai pilihan raya negeri Sabah perlu kerana terdapat banyak pengundi Sabah tinggal dan bekerja di Labuan,” katanya selepas merasmikan penubuhan Pertubuhan Permotoran Dua Roda Labuan di Kg Sg Buton di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRN Sabah pada 12 Sept dan pengundian pada 26 Sept.

Sementara itu, Bashir berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak patut dijadikan platform untuk merencanakan rasa benci terhadap kerajaan.

Beliau berkata terdapat kejadian pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan NGO untuk memanipulasi isu dan memperlekehkan usaha kerajaan dalam membangunkan negara dan rakyat.

Bashir berkata NGO memainkan peranan penting dalam membantu memajukan masyarakat, meningkatkan kehidupan masyarakat dan menggalakkan penyertaan rakyat.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Permotoran Dua Roda Labuan Marakan Zainal berkata pihaknya akan menganjurkan program pembangunan belia untuk membantu melenyapkan perspektif negatif terhadap golongan penunggang motosikal kuasa tinggi atau bikers.

Beliau berkata pertubuhan itu akan dijadikan platform untuk golongan muda menyertai aktiviti bermanfaat dalam usaha mengelakkan mereka daripada terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram.

“Objektif kami amat mudah …kami mahu penunggang muda menyertai kami dalam program pembangunan belia seperti program motivasi dan forum berkaitan perniagaan yang dianjurkan pertubuhan.

“Kami juga akan menganjurkan aktiviti amal secara tetap untuk memupuk nilai moral murni dalam kalangan belia,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.