UMNO, BN Pertahan Semua Kerusi Yang Dimenangi PRU Lalu – Ahmad Zahid

TANJUNG MALIM, 23 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti itu dalam pilihan raya yang lalu.

“Kita akan pertahankan dan ambil alih semula semua kerusi-kerusi Parlimen dan DUN, yang dimenangi di dalam PRU-14 yang lalu,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama anak muda pada Majlis Santai Bersama Anak Felda, di Felda Besout 1.

Ahmad Zahid seterusnya berkata kemenangan tersebut adalah atas nama UMNO serta atas lambang Barisan Nasional (BN) dan pendirian berkenaan adalah untuk menghargai semua usaha yang telah dilakukan.

“Maka adalah amat munasabah untuk kita pertahankan, walau pun kerusi tersebut telah berada di pihak lain. Kemenangan tersebut bukan disebabkan pihak lain tapi adalah kemenangan UMNO dan BN, dan ini meliputi semua kerusi-kerusi yang kita menang atas usaha kita sendiri itu.

”Perkara ini harus dihormati dan kita tidak akan melakukan perundingan dan akan berpendirian tegas dan kita berharap pendirian itu dihormati oleh semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata perbincangan mengenai agihan kerusi akan dimuktamadkan seminggu sebelum penamaan calon.

Katanya rudingan mengenai agihan tersebut yang dibuat bersama beberapa parti lain akan menawarkan ‘new deal’ untuk rakyat Sabah.

“Insya Allah kita akan membentuk sebuah gabungan semua parti-parti ini bersama-sama dengan BN Sabah, supaya terdapat hanya satu gabungan parti-parti politik di Sabah dan kami akan mengemukakan ‘the new deal’ melalui manifesto khusus bagi pengundi-pengundi negeri Sabah.

“Kita juga memutuskan Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, dilantik sebagai Ketua Koordinator PRN Sabah bagi membantu jentera pilihan raya BN negeri berkenaan, bersama rakan-rakan parti lain,” ujarnya.

Ujar beliau lagi lambang BN akan digunakan namun jika parti yang mahu bekerjasama dengan parti itu ingin menggunakan lambang masing-masing, rundingan akan dilakukan dalam usaha memastikan pertandingan satu lawan satu.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.