123 Individu Dikompaun, 12 Direman Ingkar PKPP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Seramai 123 individu dikompaun manakala 12 direman atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara kesalahan dilakukan adalah kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal melibatkan 55 individu; 37 individu (aktiviti dalam pub atau kelab malam), 30 (gagal sediakan peralatan atau catatan keluar masuk), lima (tidak memakai pelitup muka) serta seorang gagal mematuhi arahan kuarantin.

“Semalam, PDRM mengadakan 459 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan telah mengambil tindakan terhadap seorang individu kerana gagal mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP, hari ini.

Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara pula, beliau berkata PDRM mengadakan 62 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 28,272 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus.

“Pihak PDRM berjaya menahan lima warga asing atas kesalahan imigresen. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan,” katanya.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, 15,866 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 7,740 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 8,083 individu telah didiscaj serta dibenarkan pulang.

“Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melakukan 1,302 pemeriksaan khas pematuhan PKPP dan mendapati 1,288 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sebanyak 14 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.