Sebanyak RM512.5 Juta Disalurkan Kepada Kkm Setakat 7 Ogos, 2020 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Setakat 7 Ogos 2020, sebanyak RM512.5 juta telah disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha untuk meningkatkan lagi keupayaan kementerian tersebut untuk memerangi COVID-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata usaha pembendungan penularan pandemik itu adalah faktor kritikal dalam pemulihan ekonomi dan sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan bagi membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan unit rawatan rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

“Bagi Elaun Khas Barisan Hadapan, setakat 7 Ogos 2020, sebanyak RM222.4 juta telah disalurkan berdasarkan 694,447 tuntutan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan COVID-19.

“Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA Ke-17 mengenai Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan semalam.

Mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH), Tengku Zafrul berkata, bayaran sebanyak RM2.7 bilion telah dikreditkan ke dalam akaun bank yang melibatkan seramai 4.13 juta penerima.

“Penerima BSH yang diluluskan tetapi tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember, 2020,” katanya.

Bagi Program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata, sehingga 7 Ogos 2020, jumlah pengeluaran kumulatif antara tempoh April hingga Ogos 2020 adalah sebanyak RM6.5 bilion, meningkat daripada RM5.71 bilion pada minggu sebelumnya, dan melibatkan 4.52 juta penerima (peningkatan daripada 4.5 juta).

Sementara itu, setakat 7 Ogos, 2020, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada 29,968 pemandu teksi berjumlah RM17.9 juta buat penerima fasa pertama, meningkat daripada 29,665 pemandu teksi berjumlah RM17.8 juta pada minggu sebelumnya.

“Bagi penerima fasa kedua, pembayaran telah mula dibuat pada 22 Julai 2020 yang melibatkan 4,814 pemandu,” katanya sambil menambah bahawa seramai 1,376 pemandu telah menerima pembayaran bagi fasa kedua yang berjumlah RM825,000.

Bagi pemandu pelancong, beliau berkata, sehingga 7 Ogos, 2020, seramai 7,582 orang telah menerima bantuan berjumlah RM4.55 juta, meningkat daripada 7,570 orang berjumlah RM4.54 juta pada minggu sebelumnya.

“Selain itu, pembayaran kepada 3,104 pemandu bas pelancongan telah mula dibuat pada 22 Julai 2020, dan setakat 7 Ogos 2020, seramai 2,870 pemandu telah menerima bantuan berjumlah RM1.7 juta,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.