Munasabah Bung Moktar Ketuai PRN Sabah – Ahmad Zahid

TANJUNG MALIM, 20 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan adalah munasabah bagi Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai jentera parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata semua pihak dalam BN meskipun mempunyai pandangan berlainan perlu bersama-sama memenangkan parti itu pada PRN 26 Sept depan.

“Benar perbezaan pendapat itu harus diraikan, tetapi kita harus menghormati keputusan yang telah ditentukan di mana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dan Pengerusi BN Sabah merupakan lantikan yang dibuat oleh saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Maka, tentulah lebih munasabah mana-mana pengerusi badan perhubungan negeri dan juga pengerusi BN negeri mengetuai jentera yang ada dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), apatah lagi PRN,” katanya kepada pemberita ketika hadir program ramah mesra di Besout 3 semalam.

Beliau mengulas mengenai beberapa pemimpin UMNO Sabah yang tidak bersetuju dengan pelantikan Bung Moktar dalam mengetuai jentera BN menghadapi PRN Sabah kerana mempunyai kes di mahkamah.

Ahmad Zahid berkata semua pihak dalam BN perlu mencari jalan terbaik supaya berada dalam satu wadah perjuangan yang sama, serta tidak memberi kekuatan kepada musuh politik parti itu.

“Mereka tentu mahu melihat perpecahan berlaku dalam kalangan kita,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau telah berunding dengan timbalan dan naib presiden UMNO, selain Ahli Majlis Tertinggi dan pengerusi badan perhubungan UMNO negeri serta menteri dan timbalan menteri Persekutuan daripada BN untuk membantu kempen di zon-zon yang ditetapkan di Sabah.

Mengenai pembahagian kerusi, Ahmad Zahid berkata perkara itu belum dimuktamadkan dengan parti-parti lain dalam Perikatan Nasional dan begitu juga pembahagian calon dalam kalangan sayap parti berkenaan.

“Namun, saya yakin apa yang telah saya bincangkan dengan kepimpinan UMNO Sabah agar semua faktor-faktor mewakili peringkat umur, golongan profesional dan juga muka-muka baharu akan diberikan keutamaan supaya wajah perubahan pada kali ini akan dapat memberikan harapan baharu kepada pengundi di Sabah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 12 Sept manakala pengundian awal pada 22 Sept.

Mengenai hasrat Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) mendapat maklum balas kurang baik daripada ahli UMNO peringkat akar umbi, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat biro politik UMNO dan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi untuk keputusan.

“Kami tetap mendengar suara akar umbi dan saya mohon supaya semua akar umbi dapat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi UMNO dalam sebarang keputusan. Kami mengambil kira suara akar umbi dan juga kepentingan masa depan MN,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.