Bung Moktar Mahu Fokus Gerak Kerja Jentera PRN Sabah

KOTA KINABALU, 20 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau akan terus memberi fokus untuk menggerakkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau yang enggan mengulas mengenai kritikan sekumpulan pemimpin UMNO Sabah berhubung pelantikannya sebagai ketua pilihan raya berkenaan berkata, selaku ketua parti yang bertanggungjawab, beliau akan memastikan jentera pilihan raya parti bagi PRN Sabah, berjalan seperti biasa.

“Saya kerja untuk menggerakkan jentera parti… Itu keutamaan saya untuk PRN (Sabah),” katanya ketika dihubungi.

Malam tadi, sekumpulan pemimpin UMNO Sabah menyuarakan rasa tidak bersetuju mereka dengan pelantikan Bung Moktar mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) negeri menghadapi PRN Sabah, seperti diumumkan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen, petang semalam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua Bahagian UMNO Tuaran berkata, tindakan meletakkan seseorang yang mempunyai kes di mahkamah sebagai ‘jeneral’ dalam PRN itu boleh ‘membunuh diri’.

Pada masa ini Bung Moktar sedang menghadapi tiga bertuduhan rasuah di mahkamah, dan perbicaraan bagi ketiga-tiga kes berkenaan masih berjalan.

“Saya tiada sebarang komen (terhadap kenyataan sekumpulan pemimpin Umno Sabah). Saya ‘cool down’ dulu,” katanya, sambil memaklumkan bahawa beliau akan pulang ke Sabah dari Kuala Lumpur pada petang ini, bagi melihat persediaan gerak kerja jentera pilihan raya parti.

Dalam perkembangan berkaitan Pengerusi Sekretariat Keahlian dan Pengkaderan UMNO Sabah Bahagian Tawau Mohd Zaki Harry Susanto berkata, walaupun ada usaha menidakkan kewajaran pelantikan Bung Moktar itu, ia tidak sepatutnya menjejaskan keputusan parti, di ambang PRN Sabah.

“Semua pihak harus menghormati keputusan tersebut, kerana ia disesuaikan dengan kapasiti beliau sebagai Pengerusi BN Sabah sekali gus Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah. Ia juga membuktikan bahawa autonomi kepada UMNO Sabah sedang berjalan dengan baik, dan perlu diteruskan demi manfaat semua pihak,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zaki pelantikan Bung Moktar sebagai ketua jentera PRN UMNO, bukanlah satu penghinaan, kepada rakyat Sabah, kerana Malaysia berpegang kepada prinsip ‘rule of law’ di mana seseorang yang didakwa dengan apa-apa kesalahan adalah berstatus ‘tertuduh’ sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Bayangkan jika seseorang itu akhirnya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, tetapi telah ditidakkan haknya untuk terus bekerja dan menyumbang kepada parti. Tidakkah ia satu penganiayaan? Sebaiknya, kita perlu memberikan hak kepada semua pihak, sebelum melabelkan seseorang sebagai tidak kompeten menjalankan tugas,” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.