Penggunaan Pusat Kalibrasi Peralatan Pengesanan Utiliti Bawah Tanah Akan Diperluaskan Kepada Swasta

TANJUNG MALIM, 19 Ogos – Pusat Kalibrasi Peralatan Pengesanan Utiti Bawah Tanah di Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) di sini akan diperluaskan penggunaannya kepada agensi utiliti swasta untuk menjalankan penentukuran ke atas peralatan-peralatan pengesanan utiliti bawah tanah, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata pusat ini merupakan yang kedua seumpamanya dibina bagi menyokong aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah dan pembentukan Pangkalan Data Utiliti Negara (Padu) di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), selepas yang pertama beroperasi di Jupem, Kuala Lumpur.

Katanya, pusat penentukuran yang bercirikan bangunan hijau lestari dengan persekitaran pembelajaran yang kondusif itu dibina dengan kos sebanyak RM1.8 juta dan telah siap sepenuhnya pada Mei tahun lepas.

“Ia (pusat kalibrasi) dapat membantu dalam mengekalkan konsentrasi, minat serta semangat berkursus kepada peserta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat kalibrasi itu ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Instun, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Instun Norehan Omar berkata pembinaan pusat kalibrasi berkenaan telah menunjukkan komitmen Instun dan kerajaan dalam menyediakan prasarana latihan serta pembelajaran bagi bidang pemetaan utiliti.

“Pusat kalibrasi ini dibina menggunakan peruntukan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya.

Katanya, tujuan utama membangunkan pusat kalibrasi itu adalah untuk memberikan latihan praktikal yang terkini selari dengan peredaran pesat negara bagi melaksanakan proses penentukuran peralatan pengesanan utiliti bawah tanah.

“Sejajar dengan pembangunan pesat negara, pembinaan prasarana utiliti perlu diurus dengan teratur, tepat dan dikemas kini.

“Sepanjang jajaran jalan raya kita terdapat pelbagai pepasangan utiliti bawah tanah seperti kabel elektrik, telekomunikasi, gas dan bekalan air serta lain-lain berkaitan yang berharga jutaan ringgit dan ia perlu diurus, diselenggara dengan cekap demi kemakmuran negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.