Hari Ke-71 PKPP, Masih Ramai Ingkar Arahan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah masuk hari ke-155 dan hari ke-71 ianya dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ramai lagi individu yang didapati ingkar arahan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga semalam, seramai 136 dikompaun manakala empat lagi direman kerana mengingkari arahan PKP.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk 35), tidak memakai pelitup muka (enam), gagal melunaskan bayaran di pusat kuarantin (dua), tidak memakai apron pakai buang (satu) serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (96),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,493 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.

Menurutnya, sebanyak 4,981 Pasukan Pematuhan melibatkan 17,401 anggota telah membuat pemantauan di 4,229 pasar raya; 5,473 restoran; 1,747 penjaja; 1,781 kilang; 3,842 bank dan 1,063 pejabat kerajaan.

Beliau berkata sebanyak 1,676 terminal pengangkutan darat, 315 terminal pengangkutan air dan 103 terminal pengangkutan udara turut dipantau.

Ismail berkata dalam Operasi Benteng yang dilaksana dalam usaha mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin, sebanyak 64 sekatan jalan raya diadakan dan sebanyak 25,458 kenderaan diperiksa dan dua individu warga asing ditahan atas kesalahan imigresen.

Polis Diraja Malaysia telah mengadakan 401 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua mereka didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurutnya dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 12,926 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 62 Hotel serta empat Institut Latihan Awam dan daripada jumlah itu, seramai 43 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 5,694 lagi didiscaj dan dibenarkan pulang.

Ismail berkata semalam juga sebanyak 27 tapak binaan di seluruh negara dibuat pemeriksaan dan daripada hasil pemeriksaan, dua daripadanya tidak mematuhi SOP dan diberi amaran.

Bagi barang keperluan asas, berdasarkan pemantauan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi, katanya.

Beliau berkata hasil pemantauan KPDNHEP ke atas 1,406 premis, 24 daripadanya telah diberi nasihat, manakala 24 lagi diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.