Setiap Keputusan Muafakat Nasional Ambil Kira Pandangan Akar Umbi – Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa setiap keputusan yang akan dibuat berkaitan Muafakat Nasional akan mengambil kira pandangan akar umbi dan orang ramai.

Katanya, hal ini termasuklah dalam soal membuat keputusan dalam rakan kongsi politik.

“Pandangan akar umbi UMNO dan nitizen pasti diberi keutamaan dan didengar sebelum Muafakat Nasional membuat keputusan memuktamadkan penerimaan rakan kongsi politik baharu. Majlis Tertinggi UMNO akan memutuskannya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian dalam ciapan menerusi Twitternya berkaitan isu terbabit, hari ini.

Dilaporkan, UMNO dan PAS telah mencapai kata sepakat untuk berkerjasama (bertaawun) antara satu dengan lain dalam mengharungi cabaran arus perdana politik tanah air apabila memetrai ikatan melalui piagam yang dinamakan Muakat Nasional pada 14 Sept 2019.

Muafakat Nasional berazam menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

Dalam ucapan sebelum menandatangani piagam Muafakat Nasional tahun lalu, Ahmad Zahid dengan tegas berkata permuafakatan yang dijalinkan tiada langsung kaitan mahu menjerumuskan UMNO dan PAS ke arena politik perkauman.

Muafakat Nasional turut mendapat sokongan daripada masyarakat bukan Melayu apabila pemimpin-pemimpin dari parti komponen BN memberikan kerjasama khususnya dari MCA dan MIC selain Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Gagasan Sejahtera dan Friends of BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.