Saya Akan Terus Perjuangkan Apa Yang Diusahakan Oleh Arwah Datuk Khusairi – Zaidi

TANJUNG MALIM, 18 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz bertekad untuk terus memperjuangkan perkara-perkara yang telah diusahakan oleh Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib sebelum ini untuk kepentingan dan kebajikan warga setempat.

Menurut beliau soal banjir kilat dan juga penempatan generasi kedua baik di kawasan Felda mahupun kampung tradisi serta pelbagai perkara lain yang telah diusahakan sebelum ini akan terus dibawa dan akan diangkat kepada pihak berkenaan.

‘’Isu kedua yang saya nampak selain banjir kilat adalah isu penempatan generasi kedua baik kampung tradisi mahupun kawasan Felda.

“Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang telah dirancang sebelum ini. Itu pun dah diutarakan oleh arwah Datuk Khusairi dahulu dan kali ini saya akan teruskan perjuangannya itu untuk kita melihat soal perkara ini. Biasalah apabila melibatkan tanah dan kewangan ianya akan melibatkan masa,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kempen dari rumah ke rumah di Kg Kelah Baru, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama Zaidi terus memfokuskan untuk berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dan mempunyai jadual yang tersendiri bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

‘’Fokus kita adalah untuk berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dan tidak terikat dengan jadual pucuk pimpinan dan saya ada jadual saya sendiri dan saya akan ‘slot in’.

“Yang lebih utama saya mahu berjumpa pengundi dan jika saya ikut jadual pemimpin dan sebagainya pergerakan saya agak terbatas untuk bergerak berjumpa dengan pengundi. Hari ini masuk hari keempat dan ada ada ‘target’ saya dan menjelang 14 hari fasa saya sudah ada,’’ ujarnya.-  UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.