“Pi Mai Pi Mai Tang Tu…” Tun M Tubuh Parti Pejuang Kerana Sakit Hati – Musa

PULAU PINANG, 18 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, sambutan terhadap parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad khususnya di negeri itu dilihat amat dingin.

Ini kerana katanya, rakyat masih sayang dan percaya kepada UMNO dan PAS apatah lagi setelah wujudnya kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) yang dilihat mampu memberi sinar kepada rakyat.

“Ramai yang tahu Tun tubuh parti baru kerana sakit hati tidak dapat berkuasa dan ini adalah masalah antara Tun dengan PPBM. Di Pulau Pinang pun parti yang semakin runtuh adalah PPBM kerana ada ahli mereka yang mahu lompat masuk parti baru.

“Maknanya… ‘pi mai pi mai tang tu’. Ahli UMNO dan PAS tidak terjejas pun kerana yang lompat ini adalah di kalangan mereka sendiri,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Musa, ini terbukti apabila mesyuarat Cawangan UMNO yang sedang berlangsung ketika ini mendapat sambutan hangat berbanding dahulu.

“Jika dulu, kita kena tunggu untuk cukup korum tapi sekarang ini tak perlu… ramai yang datang dan timbul pula masalah lain kerana kita sedang berhadapan dengan COVID-19, maka, kita kena patuhi SOP (prosedur operasi standard) dengan baik.

“Selain itu, mereka yang atas pagar dan juga NGO (badan bukan kerajaan) juga telah mula mendekati UMNO kerana mereka semakin percaya dengan perjuangan UMNO apatah lagi setelah wujudnya MN,” jelas beliau.

Ketika ditanya berkaitan persiapan UMNO Pulau Pinang untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal diadakan pada bila-bila masa, Musa berkata UMNO negeri telah bersiap sedia sebaik mungkin termasuklah di peringkat sayap-sayap parti.

“Pendekatan kita turun padang terutama di kawasan UMNO bakal bertanding. Setakat ini sambutan dari orang ramai memang menggalakkan dan saya percaya UMNO masih diterima dengan baik di Pulau Pinang,” jelas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.