Penguasaan Efektif Komuniti Ekonomi Bumiputera Perlu Terus Diperkasakan – Norliza

PULAU PINANG, 18 Ogos – Kerajaan digesa terus memperkukuhkan Komuniti Ekonomi Bumiputera bagi meningkatkan penguasaan dalam sosio-ekonomi di negara ini tanpa banyak birokasi sehingga boleh menjejaskan penyertaan dan pemilikan kaum Bumiputera, kata Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO Malaysia mengalu-alukan pangkalan data Bumiputera diwujudkan apatah lagi pendedahan baharu-baharu ini mengenai kadar pemilikan ekuiti Bumiputera berada pada tahap 16 peratus sahaja dan sangat membimbangkan.

“Sepatutnya perkara sebegini tidak terjadi apatah lagi Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah lama diperkenalkan hampir 50 tahun lalu dan seharusnya membuahkan hasil pencapaian yang cemerlang pada tahap 30 peratus atau lebih daripada itu.

“Saya melihat Kerajaan perlu bersungguh-sungguh meningkatkan penguasaan efektif Bumiputera dan mengekalkan pemilikan korporat; memperluas syer pemilikan kekayaan Bumiputera; memperkasa Komuniti Ekonomi Bumiputera dan mengukuhkan keberkesanan penyampaian program berorientasikan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang memaklumkan seperti di terbabit, adanya Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera yang seharusnya telah mengenal pasti kedudukan kaum Bumiputera dengan mengambil kira kedudukan geopolitik dan penyertaan Bumiputera sejak sekian lama.

“Perkara sebegini perlu diangkat dan didedahkan sejauh mana sebenarnya pencapaian Bumiputera di Pulau Pinang sebenarnya.

“Di samping itu, saya juga mengesyorkan penyertaan Komuniti Ekonomi Bumiputera dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi disasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang 2030 melalui program peningkatan kemahiran Bumiputera.”

Ujarnya, selari dengan memperkasakan Komuniti Ekonomi Bumiputera ini, program penyediaan dana dan pembiayaan yang bukan setakat seperti PENJANA perlu dipergiatkan dan dipermudahkan bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan sosio-ekonomi secara efektif dan bersepadu.

“Kerajaan juga perlu mempertingkatkan penyertaan graduan lepasan diploma Kolej Vokasional (KV) yang kebanyakan lebih 80 peratus adalah dalam kalangan Melayu dan Bumiputera yang boleh dijadikan teras dalam kepelbagaian bidang dalam negara ini termasuk automotif, pembinaan, aeroangkasa dan pertahanan, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan serta minyak dan gas.

“Kelompok ini boleh membentuk Komuniti Ekonomi Bumiputera dengan lebih drastik lagi dan konsep Program Bridging mestilah diperkenalkan semula bagi mengumpul usahawan Bumiputera terutama mereka yang muda dan graduan KV yang berwibawa untuk meningkatkan mereka ke tahap seterusnya.

“Saya berpandangan agenda pembangunan keusahawanan Bumiputera perlu juga dilihat memperkukuh jalinan kerjasama dalam kalangan mereka untuk melahirkan usahawan yang berjaya dan berdaya saing,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.