Berilah Kepercayaan Kepada Saya Dan BN Untuk DUN Slim – Mohd Zaidi

TANJUNG MALIM, 18 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berharap pengundi di kawasan berkenaan khususnya dapat memberikan kepercayaan untuk beliau menggalas amanah sebagai wakil rakyat pada 29 Ogos nanti.

Menurut beliau sokongan dan kepercayaan itu cukup penting dalam usaha memastikan BN bukan sahaja mencapai kemenangan malah mendapat majoriti yang cukup besar pada PRK berkenaan untuk kepentingan bersama.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan rasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus di pelbagai peringkat sepanjang kempen yang berlangsung sehingga ke hari ini.

‘’Saya amat berbangga dan terharu dengan kerja kuat dan semangat yang ditunjukkan oleh jentera sama ada di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), cawangan, bahagian serta bahagian-bahagian angkat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan bersama jentera dan pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Trolak Selatan, dalam kempen PRK terbabit.

Beliau sekali lagi turut mengingatkan agar jentera parti tidak terlalu ‘over confident’ sebaliknya sama-sama terus berusaha sepanjang kempen PRK tersebut.

‘’Kerja-kerja tuan tidak dapat saya balas… Insya-Allah BN kekal menang di DUN Slim dengan kemenangan besar. Saya perlukan kerjasama semua, sama-sama sepakat dan bekerja keras… cari seramai mungkin pengundi dan undi adalah kepada BN. Saya merayu sekali lagi untuk membantu saya bagi mencapai kemenangan nanti,’’ tambahnya.

Mohd Zaidi akan ditentang dua calon Bebas dalam PRK yang bakal diadakan pada 29 Ogos nanti. Dua calon Bebas tersebut ialah Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan Santhara Sekaran Subramaniam – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.