Ahli UMNO Perlu Tingkat Penguasaan IT, Tangkis Fitnah Di Media Sosial – Fakhruddin

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata adalah amat penting bagi semua ahli UMNO terutamanya jentera untuk terus meningkatkan ilmu dan mengusai teknologi maklumat bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan terutamanya dalam media sosial.

Ujar Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang itu, ia merupakan perkara yang teramat penting dan paling mustahak kerana sejarah telah membuktikan Barisan Nasional (BN) jatuh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kerana alpa dan kalah di alam maya sehinggakan tidak mampu menangkis dakyah, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan di mana hari ini kita lihat ianya sama sekali tidak benar.

“Sumber maklumat yang terbesar dan paling berpengaruh masa kini adalah melalui media sosial. Ini sudah terbukti bahawa sesuatu berita itu sama ada berita itu benar, separuh benar atau tidak benar sama sekali, dalam bentuk fitnah, ia boleh tersebar luas, boleh diviralkan dalam masa sekelip mata saja dan mampu meracun fikiran rakyat.

“Bukan hanya fitnah perlu ditangkis, kita juga perlu meningkatkan lagi imej UMNO dan BN kepada rakyat dan media sosial juga harus dijadikan platform mendekatkan rakyat dengan parti dan kerajaan kita. ketika ini terlalu banyak berita palsu tersebar di media sosial yang perlu diperbetulkan segera,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Perkara tersebut juga menjadi intipati utama yang beliau tegaskan kepada semua ahli UMNO di Dewan Negeri Bebar ketika merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Cawangan Tanjung Batu di Nenasi, Pekan, Pahang hujung minggu baru-baru ini.

Jelasnya juga, segala kerja dan perkara baik parti dan kerajaan perlu disampaikan kepada rakyat dengan jelas dan segera.

“Kita juga harus memainkan peranan mengukuhkan Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS serta turut menyebarkan agenda nasional yang tidak meminggirkan lain-lain bangsa.

“Kerana itu juga saya sering tekankan bahawa kita harus berjihad menggunakan media sosial demi membela agama, bangsa dan negara. Saya yakin kita mampu melaksanakannya sebaik mungkin. Pengalaman telah banyak mengajar kita.

“Hari ini, rata-rata rakyat telah kembali bersama kita, maka janganlah lagi kita alpa, pastikan rakyat kali ini terselamat daripada terus menerima berita fitnah dan maklumat yang tidak tepat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.