Tidak Berprinsip Punca Tun Dr Mahathir Tidak Pilih Parti Dalam PH Wakili Calon Bebas?

 

TANJUNG MALIM, 17 Ogos – Timbalan Menteri Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata calon Bebas yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim memperlihatkan hakikat yang sebenarnya bahawa pembangkang seolah-olah tidak berprinsip.

Ini kerana kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis, mereka sebenarnya boleh sahaja memilih mana-mana parti yang ada di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding bagi mewakili calon bebas tersebut pada PRK berkenaan yang akan berlangsung pada 29 Ogos ini.

‘’Ini menggambarkan mereka tidak mempunyai prinsip. Kalau mereka berprinsip calon-calon yang bertanding di bawah Bebas ini… kalau kita lihat Tun Dr Mahathir sendiri mengumumkan calon Bebas, mengapa tidak meletakkan sesuatu parti. PH umpamanya bukankah ada PKR, Dap dan letaklah parti yang melambangkan logo masing-masing… kalau nak membawa perubahan.

‘’Kenapa letakkan calon Bebas seolah-olah Bebas ini boleh pergi ke mana-mana. Sebab itu maksud saya tadi mereka tidak berprinsip sebenarnya apabila meletakkan calon-calon seperti itu dan kalau betul-betul ‘gentleman’ letakkan logo dan kita tahu.

‘’Mana prinsipnya… sepatutnya di bawah PH mereka berpakatlah mungkin boleh letak calon atas tiket PKR atau pun Dap… katalah Tun Dr Mahathir tidak ada parti lagi untuk diletakkan dan mereka boleh letakkan salah satu parti berkenaan. Ini salah satu tanda seolah-olah mereka nak mengacau sahaja,’’ ujarnya.

Tambah Abdul Rahman walau bagaimanapun jentera parti janganlah terlalu ‘over confident sebaliknya perlu sama-sama bekerja keras sepertimana pilihan raya kecil sebelum ini dan tentunya keyakinan untuk kemenangan yang ketujuh bakal dicapai nanti.

‘’Isu yang dibangkitkan tidak menimbulkan masalah kerana mungkin arwah Datuk Khusairi telah memberi perkhidmatan terbaik dan sebagaimana di DUN Chini juga, Allahyarham Datuk Abu Bakar memberikan perkhidmatan yang cukup baik.

‘’Jadi apabila kita menjejaki langlah ke kawasan-kawasan seperti ini kita dapati bahawa ianya tidak mempunyai masalah besar. Walaupun baru sahaja memulakan kempen kita boleh lihat riak daripada masyarakat memperlihatkan sokongan kepada BN, insya-Allah kita akan memperolehi kemenangan besar sepertimana pada PRK DUN Chini,’’ ujarnya.- UMNO Online.

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.