PRN Sabah: Tarikh Mengundi 26 Sept, Penamaan Calon 12 Sept

KOTA KINABALU, 17 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan pula pada 12 Sept manakala pengundian awal ditetapkan pada 22 Sept.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom dalam sidang medianya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung PRN Sabah.

Dr Azmi berkata terdapat 1.12 juta pengundi dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ini.

“Tempoh berkempen 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding, sehingga 25 Sept,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Azmi berkata SPR menganggarkan PRN Sabah kali ini memerlukan peruntukan sebanyak RM186 juta.

Beliau berkata seramai 30,540 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Sabah, manakala 741 pusat mengundi merangkumi 2,540 saluran mengundi dan 56 pusat mengundi awal akan disediakan.

Katanya pemohonan undi pos luar dan dalam negara akan mula dibuka pada hari ini, dan akan ditutup masing-masing pada 3 Sept (luar negara) dan 11 Sept (dalam negara).

Beliau berkata SPR telah melantik 73 pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 193 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRN Sabah, manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen, SPR menubuhkan 73 pasukan penguat kuasa kempen.

“Sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan kali ini,” katanya.

Azmi berkata SPR akan turut menghantar kad mengundi kepada semua pengundi Sabah mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan mengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi.

Ini bagi memudahkan pengundi mengetahui maklumat pengundian dan melancarkan lagi proses hari mengundi, selain membantu dalam pematuhan penjarakan fizikal di pusat mengundi selari dengan langkah mengekang penularan COVID-19 sepertimana dinasihatkan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata bermula 7 Sept depan, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui laman portal SPR di www.spr.gov.my atau SMS 15888 atau aplikasi MySPR Semak.

“Sebanyak 332 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhan 2,613 saluran berbanding 2,281 saluran pada PRU ke-14,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 12,297 pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) telah dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.