Pakej Mohd Zaidi Mudahkan Kerja Kami Promosi Calon BN – Jentera

TANJUNG MALIM, 17 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang memulakan tirainya pada Sabtu lalu kini telah memasuki hari ketiga berkempen yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz bersama dua lagi calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam.

Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM) mula bergerak dan masing-masing khususnya jentera BN cukup giat melaksanakan kerja kempen dalam usaha membantu kemenangan calon BN, Mohd Zaidi Amin pada 29 Ogos nanti.

Bagi Ketua PDM Sungai Slim Utara, Hj Zabdi Zakaria pemilihan pucuk pimpinan yang meletakkan Mohd Zaidi telah memudahkan kerja untuk ‘mempromosi’ calon berkenaan yang mempunyai pakej lengkap.

Apatah lagi tambah beliau dengan kekuatan baharu hari ini bersama rakan Muafakat Nasional, PAS yang turut sama membantu dan turun padang serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) maka segala gerak kerja dipermudahkan dan kemenangan tentunya dapat dicapai kelak.

“Untuk PDM Sungai Slim Utara ini, kita tewas dalam tiga kali Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut. Jadi kami ada kekuatan baharu di sini. Apabila ada PPBM dengan PAS saya rasa kerja kita sungguh mudah. Mereka datang untuk sama-sama membantu di PDM ini dan kali ini cukup mudah dan terima kasih kepada semua jentera parti.

“Kita buat kerja sudah lama. Selama hari ini dah tiga kali PRU kita kalah iaitu 2008, 2013 dan 2018 dalam PDM ini. Insya-Allah dengan kerjasama seumpama ini kita boleh rampas PDM Sungai Slim Utara. Pengundi di sini bercampur dengan pelbagai kaum. Kita buat kerja mudahlah sebab MCA, MIC pun seiring dan bekerjasama rapat dalam usaha membantu kemenangan calon BN. Kerjasama antara rakan komponen kita cukup erat dan hari ini menerusi Muafakat Nasional akan menambahkan lagi kekuatan sedia ada.”

Tambah Hj Zabidi lagi semua faktor ada pada Mohd Zaidi yang merupakan calon BN dan dari segi pengalaman yang ada pada beliau, maka dipermudahkan untuk berkempen malah sudah pasti untuk menarik kepercayaan pengundi juga tidak sukar.

“Calon yang terbaik dan cukup berpuas hati. Semua faktor ada … maknanya pakej yang lengkaplah. Dari segi umur, kelayakan, pengalaman dengan masyarakat dan saya yakin calon yang terbaik dipilih oleh pucuk pimpinan. Kebetulan calon ini pula bekas anak murid saya… saya akan ‘all outlah’ untuk membantu kemenangannya nanti,” ujarnya.

Sementara itu seorang pengundi, Nor Azuana Abd Hamid, 48, berkata ketokohan yang ada pada Mohd Zaidi sebagai calon BN cukup terserlah dan segala pengalamannya sebelum ini yang merupakan orang yang dekat dengan arwah Datuk Khusairi akan memudahkan usaha untuk menyambung legasi yang ditinggalkan.

“Saya percaya dan yakin dengan segala pengalaman yang ada sebelum ini Mohd Zaidi akan memudahkan segala usaha untuk menyambung legasi perjuangan yang telah ditinggalkan oleh ADUN sebelum ini, Allahyarham Mohd Khusairi Abd Talib.

“Beliau seorang yang boleh bekerja, perwatakan dan keperibadian beliau dan nampaknya beliau boleh menyambung legasi sebelum ini. Yang penting kita undi untuk kepentingan penduduk Slim itu sendiri. Segala yang belum dilaksanakan sebelum ini insya-Allah akan dapat diusahakan oleh Mohd Zaidi yang mana sebelum ini beliau merupakan orang yang dekat dengan arwah Khusairi.

“Untuk isu-isu panas di sini saya rasa beliau mampu menghadapi dan mampu menyelesaikannya. Isu setempat yang belum diselesaikan saya harap beliau dapat sambung. Saya tidak nampak parti lain yang boleh menyambung kerja-kerja seumpama itu,” ujarnya.

Ujar beliau lagi arwah Khusairi telah banyak melakukan pembangunan di kawasan berkenaan yang mana sebelum ini pekan Slim boleh diumpamakan ‘pekan koboi’.

“Allahyarham Khusairi sebelum ini telah banyak membangunkan Slim ini. Saya menetap di sini daripada kecil lagi… masa dahulu macam ‘pekan koboi’….sekarang sudah ada banyak pembangunan dan kita nampaklah hasil usaha arwah sebelum ini dan Mohd Zaidi mampu melakukan kesinambungan berkenaan,” ujarnya.- UMNO Online

 

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.