Mohd Zaidi Tidak Pandang Mudah Pertandingan Tiga Penjuru, Jumpa Seramai Mungkin Pengundi

TANJUNG MALIM, 17 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz melihat pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim merupakan satu keadaan yang tidak boleh dianggap selesa meskipun hanya berdepan dengan dua calon Bebas.

Menurut beliau gerak kerja serta kempen dan proses merayu undi akan dipergiatkan serta diperhebatkan dalam usaha memastikan bukan sahaja parti menang besar malah meningkatkan lagi majoriti kemenangan sekaligus memperlihatkan kepercayaan pengundi itu sendiri.

“Pertandingan tiga penjuru adat pertandingan dan macam mana mereka sekali pun kita tetap perlu berdepan dan bertanding secara sihat. Saya tidak boleh beranggapan bahawa PRK ini selesa kerana adat pertandingan mahu tidak mahu kita kena bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

‘Walaupun calon Bebas, dan dikatakan tidak ada pengaruh dan sebagainya lagi tetapi itu bukanlah alasan kepada BN termasuklah saya sendiri untuk berada pada kedudukan selesa tetapi kena bekerja keras kerana kita mahukan undi dan menang besar dalam PRK ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas mengadakan kempen dan bertemu pengundi serta jentera parti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Slim.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut memberikan semangat kepada jentera parti dalam majlis ringkas berkenaan.

Menyentuh gerak kerja kempen hari pertama selepas proses penamaan calon pada Sabtu, Mohd Zaidi yang merupakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian melahirkan rasa syukur kerana pada peringkat awal rata-rata pengundi yang ditemui menyatakan kesediaan mereka untuk memilih parti berkenaan.

“Alhamdulillah hari ini saya telah mula kempen di pasar pagi bertemu seramai mungkin pengundi dari kalangan pelbagai peringkat kaum dan nampaknya penerimaan mereka cukup baik. Mereka masing-masing menyatakan kesanggupan untuk bersama-sama dengan BN.

“Malahan pagi tadi juga bersama Friends Of BN, Makkal Sakti yang turut bersama berkempen dan pagi tadi juga di PDM Slim bertemu dengan para pengundi serta bersama jentera parti yang lain dalam usaha berkempen.

“Dan di Pekan Slim ini majoriti Cina dan ada sedikit pengundi India serta Melayu…Sebelum ini PDM ini kalah, kita akan terus berusaha dan insya-Allah pada PRK kali ini kita dapat memenangi di PDM ini,’’ ujarnya. – UMNO Online.

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.