Kes Rasuah Guan Eng: Rakyat Jangan Terpedaya Drama Simpati Dap

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail melahirkan harapan agar rakyat tidak terpedaya dengan drama simpati yang dimainkan oleh Dap kononnnya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dianiaya.

Jelas beliau, seperti biasa Dap cuba menanam persepsi negatif di minda rakyat kononnya kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) bersikap tidak adil dan sengaja mahu membalas dendam.

“Rakyat kena tahu bahawa kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng ini sudah mula sejak Barisan Nasional (BN) memerintah tetapi ia tiba-tiba digugurkan apabila Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan. Bagaimana kes yang sedang berjalan boleh digugurkan dan kini ianya dijalankan semula.

“Saya amat berharap rakyat tidak terpedaya dengan sandiwara Dap dan tuduhan kononnya kes ini bermotifkan politik dan ada campur tangan politik.

“Saya yakin pentadbiran PN adalah telus… tidak seperti pentadbiran PH yang amat meragukan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Untuk rekod, bekas Menteri Kewangan itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SRPM.

Semasa pentadbiran PH, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung Dap, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo, serta ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menzahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu, selain menegaskan keputusan menarik balik kes berkenaan diputuskan Pejabat Peguam Negara. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.