Kerajaan Terbuka Bagi Langkah Rangsangan Bersasar Jika Diperlukan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Kerajaan bersikap terbuka mengenai langkah rangsangan bersasar sekiranya situasi memerlukan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata buat masa ini tiada sebarang rancangan untuk mewujudkan pakej rangsangan yang lain.

“Kerajaan akan memantau situasi ekonomi dan sekiranya perlu kita akan menyediakan lebih banyak bantuan bersasar,” katanya dalam wawancara bersama Bernama dan TV3.

Pada masa ini, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang dijangka menyumbang lebih tiga peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020, masih dijalankan dan pelaksanaannya dipantau rapat.

“Bagaimanapun, jika ada segmen masyarakat tertentu yang memerlukan bantuan, kita akan terus memberikannya. Kementerian ini dan Kabinet kerap turun padang untuk memahami apa yang sedang berlaku, seandainya memang ada keperluan untuk membantu rakyat, kita akan bersedia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata masih terdapat ruang untuk inisiatif bersasar.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, rancangan untuk menaikkan had hutang statutori Malaysia kepada 60 peratus daripada KDNK berbanding 55 peratus merupakan sebahagian suntikan langsung kerajaan bernilai RM45 bilion ke dalam PRIHATIN serta PENJANA, dan menjelang akhir tahun ini nisbah hutang akan sedikit melebihi 55 peratus.

“Ini bermakna masih ada ruang untuk sebarang rangsangan bersasar sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan defisit belanjawan dihadkan di antara 5.8 peratus dengan 6.0 peratus.

Pakej PRIHATIN dan PENJANA keseluruhannya bernilai RM295 bilion, dengan RM45 bilion merupakan dalam bentuk suntikan fiskal langsung oleh kerajaan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata menaikkan paras hutang semasa krisis bukan sesuatu yang baharu memandangkan Malaysia pernah mengambil tindakan yang sama sebelum ini.

Sebagai rekod, nisbah hutang kepada KDNK Malaysia adalah 80.7 peratus pada 1990 sebelum turun kepada 31.8 peratus pada 1997.

Ia kemudian meningkat kepada 41.4 peratus pada 2001 dan seterusnya naik kepada 52.8 peratus pada 2009, sebelum nisbah itu kekal di atas paras 50 peratus bagi tempoh 2009 hingga 2018.

“Peningkatan itu bersifat sementara dan BNM serta kerajaan mempunyai kapasiti. Kadar faedah kita telah dikurangkan jadi pinjaman kini lebih murah, jadi nisbah pembayaran balik hutang juga akan berkurangan,” katanya pada Khamis lepas semasa taklimat untuk kalangan editor kanan.

Beliau berkata Malaysia tidak pernah mengalami kesulitan untuk membayar balik hutangnya yang sebahagian besar adalah dalam denominasi ringgit.

Mengenai Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan (MoF) giat mengadakan libat urus dengan perniagaan, rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Perbincangan itu setakat ini adalah mengenai langkah bagi mengubah model perniagaan dalam menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19. Antara bidang penting untuk negara melangkah maju ialah modal insan dan teknologi,” katanya.

Belanjawan 2021, yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 6 Nov ini, menyasarkan usaha merancakkan kembali ekonomi di samping memulihkan keyakinan pelabur dan pengguna dalam usaha memacu ekonomi.

BNM telah menyemak unjuran pertumbuhan KDNK 2020 Malaysia kepada -5.5 hingga -3.5 peratus berbanding -2.0 hingga 0.5 peratus sebelum ini.

Ia juga menjangkakan ekonomi Malaysia mencatatkan pemulihan setelah mengalami impak buruk COVID-19 dan merekodkan pertumbuhan 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021.- BERNAMA