286 Individu Ditahan Ingkar Arahan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Seramai 286 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu 44 individu direman manakala 242 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (34), premis beroperasi lebih masa (empat), tidak memakai pelitup muka (35), serta aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal (213),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 53 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan memeriksa 19,355 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, terutamanya di lorong-lorong tikus, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Menurutnya sejak 24 Julai hingga 16 Ogos lepas, 12,063 individu dari luar negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 61 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,886 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata PDRM juga mengadakan 362 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing semalam dan kesemua individu terbabit didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 706 premis perniagaan termasuk 526 daripadanya adalah peruncit, 150 melibatkan pemborong dan 30 pengilang.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

“Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,160 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,157 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala tiga premis diberi nasihat kerana tidak memenuhi syarat kepatuhan SOP,” katanya.

Mengenai Op Sanitasi Awam, beliau berkata sebanyak sembilan operasi sanitasi dijalankan semalam yang meliputi dua zon kuning dan enam zon hijau COVID-19 yang melibatkan negeri Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 10 tapak binaan di seluruh Malaysia dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua tapak binaan tersebut patuh SOP yang ditetapkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.