Pelitup Muka: Orang Ramai Boleh Rayu Kompaun

TANJUNG MALIM, 16 Ogos – Mereka yang dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka masih boleh merayu pengurangan denda tersebut, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Justeru itu katanya tiada keperluan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan.

”Kita kenakan RM1,000 tetapi mereka boleh merayu, kalau dikurangkan maka Kementerian Kesihatan yang mengeluarkan kompaun boleh memberi pengurangan. Jadi, saya rasa tidak perlu pinda akta tersebut kerana nak meminda akta memerlukan masa.

“… sedangkan kes sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak mural kemerdekaan dan pasar pagi Slim River, di sini.

Beliau juga berkata jika perlu dilakukan pindaan terhadap akta itu, usul akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen supaya kerajaan mengkaji semula kadar denda RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka yang tidak memakai pelitup muka kerana jumlah itu dilihat membebankan orang ramai, khususnya golongan B40 dan pelajar.

Sementara itu, ditanya mengenai kewujudan virus COVID-19 dengan mutasi D614G yang 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain di negara ini, Ismail Sabri mengingatkan rakyat agar terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa virus yang dibawa (kluster) Sivagangga itu telah dapat dikawal, jadi tidak ada lagi penyebaran virus tersebut (bagi kluster itu) di Kedah, Perlis dan sebagainya,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata Institut Penyelidikan Perubatan telah mengesan mutasi jenis D614G dalam tiga kes daripada Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

Katanya virus COVID-19 dengan mutasi D614G didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain serta mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’.

Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menasihati penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

“Saya faham kita nak kerja untuk menangkan calon, tempat sesak kalau tak boleh nak lakukan penjarakan fizikal wajib pakai pelitup muka,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.