PRK DUN Slim Bermula Dengan Penamaan Calon Pagi Ini

TANJUNG MALIM, 15 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bermula hari ini, dengan tumpuan kepada pengumuman rasmi calon yang akan bertanding di DUN itu.

Proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini akan bermula pada 9 pagi ini dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Berikutan wabak COVID-19, tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan sekali gus menjejaskan kemeriahan hari penamaan calon yang seringkali diwarnai dengan perarakan serta laungan daripada penyokong parti bertanding.

Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenar masuk ke pusat penamaan calon.

Pegawai Pengurus PRK itu Shamsul Ridzuan Idris kemudian dijangka mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi.

Setakat semalam, 12 set borang pencalonan sudah dijual.

Barisan Nasional (BN) pada Rabu mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan, manakala peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dinamakan sebagai calon mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amir Khusyairi akan bertanding atas tiket Bebas memandangkan parti baharu Dr Mahathir, Pejuang belum didaftarkan.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.