UMNOSiswa Sokong Penuh Kembalikan Polisi Pinjaman Penuh PTPTN

JITRA, 14 Ogos – UMNOSiswa UUM berharap serta menyokong penuh syor yang telah dikemukakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung dengan mengembalikan polisi pinjaman penuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang telah diberikan sebelum pemerintahan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kata Ahli Jawatankuasa Kepimpinannya, Muhammad Aiman Nulhakim, UMNOSiswa UUM berpandangan bahawa dengan adanya serta dikembalikan polisi pinjaman penuh PTPTN untuk pelajar IPT adalah satu inisiatif untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan tetapi berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Hal ini kerana, dengan adanya polisi pinjaman penuh PTPTN ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan kerana setiap keluarga mempunyai latar belakang yang berbeza.

“UMNOSiswa UUM juga turut menyokong kenyatan Datuk Dr Asyraf yang berharap dengan harapan agar pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri dapat mempertimbangkan gesaan ini bagi membantu serta meringankan beban rakyat terutamanya puluhan ribu pelajar yang sedang serta bakal melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi yang sekaligus mampu memberikan pulangan pelaburan jangka panjang modal insan negara masa depan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, UMNOSiswa UUM juga berharap agar cadangan atau syor yang telah dibawa oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu mendapat sokongan daripada kepimpinan tertinggi parti.

Begitu juga katanya, polisi pinjaman penuh PTPTN untuk pelajar IPT ini mampu membantu dalam melahirkan mahasiswa serta mahasiswi yang akan menjadi pelapis dalam sistem pentadbiran negara pada masa akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.