PRK Slim Peluang Penyokong BN Perkukuh Kesetiaan, Pengundi Perbetul Kesilapan – Saarani

TANJUNG MALIM, 14 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang bakal berlangsung 29 Ogos ini adalah satu peluang kepada rakyat khususnya pengundi di sini untuk memilih wakil rakyat baharu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Katanya, ini adalah peluang kepada pengundi Slim setelah dua tahun melalui Pilihan Raya Umum ke-14.

“Ini memberi peluang kepada pengundi-pengundi yang dahulunya berikan undi kesetiaan kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk memperteguhkan kesetiaan sekali lagi mengundi calon BN.

“Ini juga peluang kepada pengundi-pengundi yang dahulunya telah tersalah pilih atas sebab-sebab mereka diperdaya, ditipu dan dijanjikan dengan janji-janji manis setelah tersalah pilih PH ketika itu.

“Inilah peluang untuk menebus kesilapan untuk memberi undi kepada BN.”

Beliau berkata demikian dalam segmen ‘Bicara PRK Slim’ yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook, UMNO Online malam ini.

Saarani yang juga Pengarah PRK Slim turut menyentuh berkaitan ‘Kita Kekal Muafakat’ yang diangkat menjadi cogan kata bagi PRK Slim.

“Kita Kekal Muafakat bukan hanya setakat slogan tapi diterjemahkan bersama dalam kerjasama UMNO-PAS.

“Ini bukan hanya satu retorik tapi kita nak buktikan pada rakyat sebagaimana dalam PRK Semenyih dan Chini pencadan kepada calon BN adalah PAS maka insya-Allah esok juga demikian,” katanya.

Ujarnya lagi Muafakat Nasional ini adalah tawaran baharu yang diberikan kepada rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, menyaksikan Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.