Lebih 500 Polis Pantau Proses Penamaan Calon PRK DUN Slim Esok

TANJUNG MALIM, 14 Ogos – Lebih 500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan memantau perjalanan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, esok.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata polis akan melakukan dua sekatan jalan raya di Jalan Persekutuan di kilometer (KM) 117 arah selatan dan KM 121 arah utara menghala ke pusat penamaan calon di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) bermula 6.30 pagi.

“Laluan masuk ke pusat penamaan calon juga ditutup di simpang masuk MDTM dari Jalan Persekutuan iaitu berhadapan Petronas Behrang 2020 dan laluan masuk ke MDTM melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menetapkan laluan masuk bagi calon Barisan Nasional (BN) melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana manakala calon lain boleh menggunakan laluan di Jalan Persekutuan.

Tegasnya, hanya tiga orang terdiri daripada calon, pencadang dan penyokong dibenarkan memasuki pusat penamaan calon, selain tiada aktiviti berkumpul atau perarakan oleh penyokong mana-mana parti ketika proses penamaan calon itu.

Dalam pada itu, Sulizmie Affendy berkata sebarang ceramah yang diadakan semasa tempoh berkempen perlu mendapat permit polis, namun tiada permit diperlukan bagi kempen rumah ke rumah.

Beliau turut mengingatkan para penyokong parti supaya tidak menimbulkan provokasi semasa tempoh berkempen selain mematuhi prosedur operasi standard mencegah penularan wabak COVID-19 dengan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.

Sementara itu, beliau memaklumkan 277 pengundi awal polis daripada 23,094 pengundi berdaftar akan mengundi pada 25 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala pengundian awal pada 25 Ogos dan mengundi pada 29 Ogos.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.