Tidak Kira Siapa… BN Sedia Berdepan Calon PH Atau Mesra PH – Shahril

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Sharil Hamdan berpandangan mana-mana parti sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun mereka yang mesra PH boleh meletakkan calon masing-masing pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Namun apa yang pasti tegas beliau sudah pasti jentera parti akan berusaha sebaik mungkin dalam usaha membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada PRK berkenaan.

“Kita alu-alukan sebarang pertandingan daripada pihak lawan baik dari PH atau mereka yang mungkin nak berkawan dengan PH. Yang penting kita nak menangkan calon kita dan itu akan menjadi fokus kita.

“Beliau seorang yang saya lihat secara peribadi amat mesra meskipun hanya memangku jawatan ketua bahagian tetapi mempunyai kelayakan dan keterampilan yang agak menarik dan saya yakin dalam 14 hari kempen yang akan bermula Sabtu ini keterampilan itu mampu menambat hati pengundi dan sudah tentu kita tidak berharap kepada calon semata-mata tetapi juga kepada jentera parti yang akan turun membantu,” katanya.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke pejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Shahril seterusnya menambah gerak kerja kempen semestinya berasaskan kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut prosedur operasi standard (SOP) normal baharu bagi mengekang penularan COVID-19.

“Pendekatan kempen berdasarkan SOP yang akan dikeluarkan oleh pihak SPR dan tidak ada banyak ceramah besar-besaran tetapi akan fokus kepada media sosial dan isu tempatan serta nasional yang akan dikenalpasti kelak tetapi kaedah penyampaiannya perlu digital.

“UMNO perlu menyampaikan kaedah penyampaian yang sesuai dengan masa sekarang dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisi,” ujarnya.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumum sebagai calon BN untuk PRK DUN Slim yang akan diadakan pada 29 Ogos ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi UMNO Perak merangkap Pengarah PRK Slim, Datuk Saarani Mohamad dalam satu sidang media di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak, semalam.

Sementara itu, kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, menamakan peguam syarie dan peguambela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, sebagai calon PRK berkenaan atas tiket bebas.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.