PKPP: Jumlah Besar Individu Dikenakan Tindakan Menunjukkan Rakyat Masih Ingkar SOP

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Jumlah besar individu yang dikenakan tindakan akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 184 individu atas kesalahan ingkar PKPP dengan 135 dikompaun manakala 49 lagi direman.

“PDRM akan bersikap tegas dan tidak berkompromi terhadap mereka yang ingkar. Antara kesalahan ingkar PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka, operasi premis lebih masa, aktiviti pub dan melanggar SOP kuarantin wajib di rumah.

“Task Force Operasi Pematuhan akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di bangunan Parlimen di sini, hari.

Katanya, menerusi Op Benteng, PDRM juga telah membuat 77 sekatan jalan raya semalam dan memeriksa 35,520 kenderaan serta menahan 14 warga asing atas kesalahan imigresen.

Berhubung Ops Sanitasi Awam, Ismail Sabri berkata 19 operasi meliputi 17 zon (termasuk lima zon kuning) di sembilan negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Melaka dilakukan semalam melibatkan 87 anggota bomba, 109 anggota pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Dalam perkembangan lain mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) di Kedah dan Perlis, Ismail Sabri menegaskan pergerakan keluar masuk di kawasan itu oleh penduduk setempat atau penduduk luar kawasan TEMCO adalah dilarang sama sekali.

“PDRM akan membuat kawalan sepanjang masa di sekitar kawasan TEMCO dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang ingkar arahan tersebut termasuk tindakan mahkamah,” jelasnya.- BERNAMA