Wakil UMNO Dan Bersatu Dilantik JPKK Di Terengganu Bermula 2021 – Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Bermula Januari tahun depan, kerajaan negeri Terengganu akan menambah bilangan keahlian Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan penyertaan rakan sekutu politiknya iaitu UMNO dan Bersatu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melalui perubahan itu, komposisi JPKK sedia ada di Terengganu akan bertambah namun belum ada keputusan muktamad mengenai bilangan dan kaedah pelantikan jawatan tersebut.

“Ini adalah antara pendekatan diambil untuk memperkasakan kerjasama dalam gabungan parti kerajaan di peringkat pusat agar ia melibatkan komuniti akar umbi dalam kampung dan selepas itu kita akan lihat kesannya macam mana.

“Sekiranya positif dan ada ruang yang lebih, kita akan perkasakan lagi kerjasama ini dalam bentuk yang lain,” katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.

Ditanya mengenai luahan beberapa ADUN UMNO yang kecewa dengan ketelusan PAS dan mendakwa Muafakat Nasional (MN) tidak berlaku di Terengganu, Ahmad Samsuri berkata jalinan kerjasama itu adalah satu proses yang perlu berjalan dengan cermat dan teliti memandangkan ‘permusuhan’ antara dua parti itu telah berakar umbi di Terengganu sejak lama dahulu.

Dalam pada itu, menjawab dakwaan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said bahawa terdapat beberapa individu bukan rakyat Terengganu yang memegang berbelas jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri pula, Ahmad Samsuri berkata pelantikan individu tersebut adalah berdasarkan kepakaran dan kelayakan yang dimiliki.

“Ia adalah pelantikan kontrak, bukan jawatan tetap antara dua ke tiga tahun dan individu yang dilantik berkemampuan menyelesaikan beberapa isu yang sedang dihadapi GLC terlibat. – BERNAMA