UMNO Rakam Takziah, Mantan JR Wanita UMNO Antara Tujuh Mangsa Maut Kemalangan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – “Innalillahi wainnailaihirojiun. Sangat sedih mendengar berita ini. Parti kehilangan seorang pejuang yang setia,” demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan rasa dukacita berkaitan laporan berita kematian tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan termasuklah mantan JR Wanita UMNO.

Media melaporkan, kemalangan tersebut telah membabitkan sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands petang semalam yang melibatkan dua keluarga.

Pasangan pertama dikenal pasti sebagai Mohd Zairul Mat Isa, 34 yang memandu MPV itu, isterinya Nuratiqah Abd Hamid, 30; anak perempuan mereka Nur Qaseh Damia, 4 dan ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68

“Saya dan seluruh keluarga UMNO merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fatimah Mat Isa, mantan JR Wanita UMNO Malaysia dan ahli keluarganya yang terlibat dalam kemalangan itu.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan mereka dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan pendek menerusi media sosialnya, hari ini.

Pasangan kedua pula ialah Zulkifli Shuib, 49 yang juga sepupu Mohd Zairul, isterinya Hasliza Mahmud, 40 dan anak kandung Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Siasatan awal mendapati dalam nahas 5.30 petang itu, MPV tersebut yang dinaiki 10 orang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kedah sebelum dipercayai terbabas memasuki lorong bertentangan dan melanggar sebuah treler. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.