PRK Slim: Zaidi Calon Paling Tepat Wakili BN – Ahmad Maslan

SLIM, 12 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mohd Zaidi Aziz adalah calon paling tepat yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ujar beliau, Zaidi adalah anak tempatan dan dikenali ramai apatah lagi beliau begitu aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Mewakili pucuk pimpinan parti saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Zaidi. Beliau yang menjadi Pemangku Ketua UMNO Bahagian bukan sahaja aktif di bahagian tetapi di cawangan.

“Selain itu, sejak tamat belajar di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), beliau juga aktif dengan NGO. Jadi, BN amat bertuah mempunyai calon yang berkelayakan seperti ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, hasrat Zaidi untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib juga adalah amat tepat.

Sementara itu Pengarah Operasi PRK ini Mohd Hatta Lodin berkata, beliau yakin dan percaya Zaidi mampu memacu kemenangan BN di PRK Slim.

“Walaupun kita yakin BN boleh menang namun kita harus terus bekerja keras dan berhadapan dengan sesiapa sahaja yang bakal menjadi lawan.

“Kita terima siapa sahaja saingan tapi kalau tidak bertanding lagi bagus,” sindir beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.