Penurunan Kadar Pengangguran Bukti Inisiatif Kerajaan Tunjuk Hasil Positif – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Penurunan kadar pengangguran membuktikan inisiatif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan menggerakkan semula ekonomi negara mula menunjukkan hasil positif, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Meskipun terdapat perkembangan positif, kerajaan akan terus memberi perhatian dalam menangani pengangguran dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan bagi memaklumkan laporan terkini mengenai pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA semalam.

Ini merupakan laporan ke-16 oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan kadar pengangguran pada Jun 2020 turun sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus daripada 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Tengku Zafrul berkata tanda-tanda pemulihan ini akan berterusan sekiranya rakyat terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian mereka.

Menurutnya, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh akan menyebabkan masalah lain termasuk mengganggu usaha memulihkan ekonomi dan fokus kerajaan dalam perancangan Belanjawan 2021 yang akan tertumpu kepada usaha merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur.

“Bagi memastikan kejayaan Belanjawan 2021, pasukan daripada Kementerian Kewangan meneruskan ‘Jelajah Belanjawan 2021’ untuk mengambil maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat dan industri.

“Maklum balas yang diterima akan pertimbangkan untuk memastikan Belanjawan 2021 adalah mesra rakyat dan perniagaan,” katanya sambil menambah orang awam, peniaga dan pihak berkenaan dijemput untuk mengemukakan pandangan dan cadangan mengenai Belanjawan 2021 ke [email protected]. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.