182 Individu Ingkar PKPP Ditahan Semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Seramai 182 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 18 direman, dua dijamin manakala 162 individu lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 70 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 33,335 kenderaan semalam bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan menahan 10 individu atas kesalahan imigresen, katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP, hari ini.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata seramai 9,984 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 61 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 20 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,200 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Menurutnya, PDRM juga melakukan 1,559 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah semalam dan dua daripadanya diambil tindakan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 15 operasi sanitasi meliputi 14 zon termasuk empat Zon Kuning melibatkan tujuh negeri antaranya Sabah, Perlis, Sarawak dan Melaka yang dilakukan semalam.

Beliau turut memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 39 tapak binaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 34 tapak binaan patuh SOP yang ditetapkan manakala satu diberi amaran serta empat lagi didapati tidak beroperasi.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 697 premis perniagaan, termasuk peruncit (486), pemborong (182) dan pengilang (29).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.