PRN Sabah: Jentera Penerangan UMNO Negeri Siap Siaga Susun Strategi – Shahril


KOTA KINABALU, 11 Ogos – Jentera Penerangan UMNO Bahagian-bahagian di seluruh Negeri Sabah sudah siap siaga menyusun strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Demikian penegasan yang dilontarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan kepada UMNO Online, sebaik sahaja selesai bertemu dengan Ketua-ketua Penerangan UMNO Bahagian negeri tersebut, hari ini di sini.

“Ini lawatan kerja Penerangan yang awal, walaupun tarikh PRN belum ditetapkan dan ada keputusan mahkamah yang perlu dilaksanakan tetapi kita buat persiapan awal.

“Antara persiapan awal kita adalah perbincangan yang cukup terperinci pada hari ini bersama hampir kesemua Ketua-ketua Penerangan Bahagian seluruh negeri Sabah yang datang dan kita berbincang tentang strategi kita, tentang isu-isu yang hendak kita bawa, kaedah penyampaian kita dan juga pecahan-pecahan tugas.

“Jadi itu perkara yang sudah kita rumuskan dan akan ada keputusan-keputusan susulan yang akan dibuat di peringkat penerangan negeri dan pusat. Sudah tentu pengisiannya saya tidak boleh kongsi, tetapi yang saya boleh sebut persiapan Ketua-ketua Penerangan Bahagian dan Negeri di peringkat Sabah yang diketuai Datuk Raimi cukup-cukup memberangsangkan,” katanya.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut, Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Raimi Unggi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom bersama Timbalan Pengerusi, Datuk Nilwan Kabang.

Shahril juga menyatakan perasaan kagum melihat semangat perjuangan jentera Penerangan negeri tersebut.

“Walaupun dalam keadaan tidak tentu soal PRN ini jadi atau tidak, bila berlaku dan sebagainya, mereka sudah ada perancangan-perancangan, idea-idea dan isu-isu yang hendak dibawa dan isu-isu pecahannya mana… ikut kawasan mana dan sebagainya.

“Jadi saya cukup teruja melihat persiapan yang telah pun dibuat dan saya rasa semuanya adalah hasil semangat perjuangan UMNO yang cukup besar di kalangan pemimpin-pemimpinnya di Sabah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang berkaitan, tambah Shahril, antara perkara yang akan dibawa oleh Penerangan dan UMNO Sabah secara keseluruhan kelak adalah menjurus kepada kegagalan mengurus ekonomi oleh kerajaan negeri dan sistem penyampaian bantuan yang tidak terurus.

“Saya rasa ada beberapa contoh-contoh dan kes-kes di mana pengurusan ekonomi yang tidak baik, penyampaian bantuan kepada rakyat yang tidak terurus dengan baik menyebabkan ada kesan yang amat negatif kepada penduduk Sabah.

“Dan sini kita boleh lihat perbandingan pentadbiran yang lebih terurus, pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman dan pentadbiran yang saya rasa lebih telus dari segi penyampaian-penyampaiannya yang kita bezakan dengan kerajaan negeri.

“Jadi itu antara perkara yang sedang kita rangka dan biarlah apabila semboyan dibunyikan, isu itu akan dinaikkan sebagai perkara fokus kepada rakyat. Saya ingat penduduk Sabah dan pengundi tertunggu-tunggu apa sebenarnya tawaran yang berbeza dan perbandingan antara kedua-dua pihak nanti,” ujarnya.

Begitu juga Shahril mengulas mengenai alasan kerajaan negeri atas kegagalan mengurus ekonomi negeri dengan baik, kononnya dua tahun memerintah tidak boleh membuktikan apa-apa.

“Jika tidak menggunakan dua tahun sebagai kayu ukur, hendak menggunakan apa? Sebab dua tahun jadi kerajaan walaupun dia sangka jadi kerajaan lima tahun.

“Tapi nak jadi kerajaan kena ‘perform’ tiap-tiap tahun bukan ‘perform’ dua tahun atau enam bulan terakhir sahaja. Jadi bagi saya itu bukan alasan, kalau jadi kerajaan waima enam bulan pun, itulah kayu ukurnya. Dah pegang kerajaan 22 bulan dan dia gagal,” bidasnya lagi.

Terdahulu malam tadi, Shahril turut berpeluang menghadiri majlis santai bersama para penggiat media mosial di negeri tersebut. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.