PRK Slim Sekali Lagi Akan Jadi Medan Buktikan Kesepakatan MN Terbaik – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sekali lagi akan menjadi medan untuk membukti dan merealisasikan kesepakatan Muafakat Nasional (MN) adalah yang terbaik.

Jelas beliau, ini bertepatan dengan ‘tagline’ yang digunakan iaitu ‘Kekal Muafakat’ kerana muafakat itu membawa berkat dan membawa kemenangan lebih besar.

“MN di Tanjung Malim ini amat bermanfaat dan saya berharap agar undi yang kita dapat sebelum ini boleh bertambah dan mencapai hasrat 12 ribu undi. Ini yang kita inginkan iaitu MN direalisasikan di PRK SLIM.

“Namun kita jangan ambil mudah walaupun MN semakin kukuh kerana jika kita ambil mudah, satu-satunya kerusi yang kita ada di Parlimen ini akan terlepas. Kita bukan hanya nak capai hasrat Presiden untuk dapat 12 ribu tapi kita nak capai 14 ribu majoriti.

“Jadi, bersama-samalah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh agar kita dapat tawan Slim,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ahmad Maslan turut menegaskan kepada jentera agar mengambil iktibar apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) yang lalu.

“Disebabkan kita berpecah maka kita cuma dapat satu kerusi di sini. Sepatutnya kita boleh menang di Tanjung Malim dan Behrang tapi sebab kita berpecah maka kita rugi… sebab itu pentingnya kerjasama dengan PAS.

“Jadi, kita mesti menang di kerusi ini, tidak ada sebab untuk kita kalah,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Untuk rekod, ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong pada 15 Julai lalu.

Mohd Khusairi, menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak 2004. Beliau memenangi kerusi DUN Slim pada PRU-14 lalu dengan majoriti 2,183 undi selepas menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Zulfadli Zainal. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.