Konvoi Merdeka Puteri UMNO Melaka Naikkan Semangat Anak Muda Cintakan Negara

MELAKA, 11 Ogos – Bersempena dengan bulan kemerdekaan, Puteri UMNO Negeri Melaka buat julung kalinya mengadakan konvoi Merdeka Negeri Melaka 2020.

Ketua pergerakan Puteri negeri itu, Nurashiqin Alias berkata tujuan konvoi ini diadakan adalah bagi menaikkan semangat merdeka dan cintakan negara khusus kepada anak muda di samping mengeratkan ukhuwah Puteri negeri tersebut.

“Mahu tidak mahu kita akui bahawa semangat kemerdekaan dan cintakan negara seakan kurang. Lebih menyedihkan ada anak muda yang tidak tahu bila tarikh kemerdekaan maka sebab itu Puteri UMNO Melaka mengambil inisiatif ini bagi menyemarakkan rasa cintakan negara di jiwa anak muda.

“Kita tidak mahu anak muda lupa asal usul dan lupa perjuangan nenek moyang kita dalam memperjuangkan kemerdekaan. Apabila anak muda ada rasa sayangkan negara maka ia secara tidak langsung dapat menghalang mereka dari melakukan perkara yang boleh memalukan negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Konvoi yang telah dijalankan pada 9 Ogos lepas, melibatkan enam bahagian di Melaka mendapat penyertaan sebanyak 30 buah kereta dan 30 buah motorsikal dengan melibatkan 160 orang peserta.

Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah berbesar hati untuk melepaskan konvoi ini.

Sementara itu di setiap ‘checkpoint’, konvoi ini akan disambut penuh meriah oleh ketua bahagian dan kepimpinan bahagian masing-masing.

“Saya berharap, program seperti ini akan dijadikan acara tahunan dan akan dijalan dengan lebih besar agar lebih ramai anak muda dapat menyedari betapa pentingnya semangat patriotik dan cintakan negara,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.