Kes Bicara Zahid: Saksi-86 Banyak Jawab Tak Tahu, Akui Urusan Wang Berkaitan Kerja Kebajikan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Saksi ke-86 kes perbicaraan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Premshangar Venugopal berkata, beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi berkaitan pengurusan dan arahan di fail Yayasan Al-Falah di Lewis & Co kerana fail tersebut diuruskan oleh rakan kongsinya Muralidharan Balan Pilai.

Namun jelas beliau, dirinya dimakumkan oleh Muralidharan bahawa fail tersebut digunakan untuk merekod urusan berkaitan dengan wang daripada Ahmad Zahid bagi tujuan kebajikan.

“Saya tidak mengetahui banyak urusan sebab ia diuruskan oleh rakan kongsi saya tapi dia ada maklumkan urusan wang daripada Ahmad Zahid dengan tujuan kebajikan,” ujar beliau.

Selain itu kebanyakan jawapan Premshangar ketika memberi keterangan adalah ‘tak pasti, tak ingat, tak tahu’.

Dalam keterangan bertulisnya sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, Premshangar seringkali menyebut tidak terlibat dengan kebanyakan urusan syarikat yang dikendalikan rakan kongsinya.

Katanya, beliau tidak terlibat dengan pengurusan cek-cek ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co kerana ia diuruskan sepenuhnya oleh rakan kongsinya, Muralidharan.

Malah katanya beliau tiada pengetahuan bagaimana Lewis & Co boleh terlibat dalam pengurusan duit daripada Ahmad Zahid dari permulaan kerana perkara tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Muralidharan.

Prosiding perbicaraan hari ini terpaksa dihabiskan awal kerana Ketua Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.