Kerajaan Teliti Wujud Semula Majlis Mineral Negara – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan semula Majlis Mineral Negara iaitu antara perkara yang digariskan dalam Pelan Transformasi Industri Mineral Negara (TIM) 2020-2030.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata perkara itu digariskan di bawah satu daripada empat teras dalam TIM 2020-2030, iaitu tadbir urus dan perundangan.

“Majlis Mineral Negara telah digabungkan fungsinya di bawah Majlis Tanah Negara, maka pewujudan semula majlis itu adalah penting kerana setiap isu berkaitan mineral perlu dibincang secara terperinci antara kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perjumpaan bersama media mengenai TIM 2020-2030, semalam.

Shamsul Anuar turut berkata pewujudan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal selia industri berkenaan adalah penting supaya ia dapat dijalankan secara mampan.

“Pada ketika ini, SOP Perlombongan Bauksit berjaya dibangunkan dan diguna pakai di Pahang berkuat kuasa 5 Sept 2019, manakala SOP Nadir Bumi Bukan Radioaktif dan Garis Panduan Perlombongan Mampan kini di peringkat penyediaan dan dijangka siap Oktober ini,” katanya.

Shamsul Anuar berkata bagi memperkukuhkan lagi kerangka perundangan berkaitan industri bahan galian berkenaan, kajian semula beberapa akta akan dijalankan antaranya Akta Penyiasatan Kaji Bumi 1974, Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Konsultasi dengan pihak negeri juga akan dilakukan bagi meneliti semula Enakmen Mineral Negeri-negeri. Antara perkara yang dikenal pasti untuk diselaraskan adalah seperti mekanisme tadbir urus yang seragam, struktur dan kadar royalti di setiap negeri serta kawalan terhadap eksport mineral mentah,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.