PRK Slim: Pemuda BN Bakal Laksana Formula Baru – Aysraf Wajdi

SLIM, 10 Ogos – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda BN akan melaksanakan beberapa formula baru bersama rakan-rakan daripada Muafakat Nasional (MN) dan juga ‘friends of BN’ di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ujar beliau, ini penting kerana komposisi pecahan kaum di DUN ini tidak seperti di PRK Slim dan ia sudah pasti menuntut penglibatan rakan komponen BN dan yang lain.

“Komposisi kaum di PRK Chini majoritinya adalah Melayu tetapi kali ini dengan adanya pengundi yang signifikan dari pengundi Cina dan India, sudah tentu penglibatan rakan komponen dan ‘friends of BN’ akan digembling bersama.

“Lagipula PRK Slim juga adalah sebagai pemanas badan untuk kita berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dan begitu juga dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Asyraf, Pemuda BN dan juga UMNO telah mengambil langkah proaktif dan merangka gerak kerja berasaskan PRK terdahulu.

“Kita tidak pernah mengambil ringan sebarang PRK walaupun ada yang mengatakan BN boleh menang mudah di sini. Sebab itu kita telah merangka gerak kerja dan akan lebih fokus dengan apa yang hendak kita tumpukan sekaligus merealisasikannya.

“Siapapun yang bakal menjadi calon BN di sini, Pemuda akan bekerja keras untuk memenangkannya,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menang kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon PPBM Mohd Amran Ibrahim dan PAS, Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi. – UMNO ONLINE