Dewan Rakyat Lulus Usul Junjung Kasih Titah Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan persidangan Parlimen pada 18 Mei lepas, dengan undian suara terbanyak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul itu selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Usul itu dibahaskan selama 10 hari mulai 14 Julai oleh 129 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian, disusuli dengan penggulungan oleh 27 kementerian terlibat.

Antara isu yang dibahaskan adalah mengenai Lembaga Tabung Haji termasuk cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh beberapa Ahli Parlimen bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang lepas.

Selain itu, isu melibatkan semakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan had statutori hutang negara turut dibangkitkan pada sesi perbahasan.

Persidangan hari ini menyaksikan menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri mengakhiri sesi penggulungan perbahasan mengikut portfolio masing-masing iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi); Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-Tugas Khas); Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang); Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama); dan Datuk Hanifah Hajar Taib (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Mengikut takwim Dewan Rakyat dalam laman rasmi Parlimen, persidangan esok akan diteruskan dengan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, sesi soal jawab lisan serta Rang Undang-Undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.