Sesiapapun Bebas Tubuhkan Parti Baharu, Rakyat Akan Nilai – Annuar

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, sesiapapun bebas menubuhkan parti.

Namun katanya ia akan dinilai rakyat.

“Sekiranya ia dilihat sebagai agenda nepotisme, kronisme dan peribadi, ia pasti ditolak. Lebih parah lagi kiranya ia bersekongkol dengan Dap… pasti ditalkinkan awal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian dalam kenyataan pendek menerusi Twitternya hari ini.

Dilaporkan, Jumaat lalu mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang dikatakan akan mendokong dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti mana di awal penubuhannya dulu.

Hadir sama dalam pengumuman penubuhan parti tersebut ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Mei lalu, Dr Mahathir bersama empat lagi digugurkan keahlian mereka daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka yang lain ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.