Jelajah PUMAS Perkasakan Medium Penerangan UMNO Empat Peringkat – Shahril

ARAU, 9 Ogos – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang digerakkan ke negeri-negeri merupakan salah satu inisiatif dalam usaha memperkasakan lagi empat peringkat jentera penerangan di seluruh negara bersesuaian dengan senario semsaa.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata dengan pendekatan tersebut jelajah penerangan yang bermula semalam di Kedah dan Perlis akan diteruskan ke seluruh negara dengan penglibatan yang menyeluruh daripada jentera penerangan parti.

“Ianya akan diteruskan dan dilaksanakan secara berterusan dan kalau boleh tidak masuk sehingga musim mesyuarat bahagian dan kita insya-Allah akan selesaikan secepat mungkin dan bersedia sebarang kemungkinan kalau Pilihan Raya Umum (PRU) menjelma.

“Kita nampak… walaupun kadar COVID-19 meningkat dan kita laksanakan ini dengan SOP yang ketat, kehadirannya Alhamdulillah walaupun logistiknya jadi susah sikit tetapi komitmen kehadiran penerangan empat peringkat cukup positif dan ini mencerminkan semangat ahli diperingkat bahagian, di peringkat cawangan bersedia ke arah Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ketua Penerangannya, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya bersama barisan kepimpinan yang lain dalam program Jelajah PUMAS di Pusat Khidmat BN Kubang Gajah.

Pada sebelah pagi, program sama turut diadakan di negeri Kedah yang turut dihadiri Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Penerangannya, Datuk Suraya Yaacob serta barisan kepimpinan empat peringkat yang lain.

Dalam pada itu Ketua Penerangan UMNO  Kedah, Datuk Suraya Yaacob dalam program yang sama di Kedah melihat penerangan parti umpama ‘frontliners’ dan apa yang pasti semua pihak perlu tabah, berani, bijaksana dan memberi kesan positif kepada parti.

“Kita yakin dan insya-Allah dengan menggunakan gaya komunikasi betul, dengan bantuan platform media sosial yang tepat dan berkesan, Penerangan UMNO Kedah akan memberi impak dan hasil positif biar pilihan raya ke berapa sekalipun diadakan selepas ini.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO, kita bertanggungjawab memastikan diri kita memainkan peranan dengan baik dan berkesan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Kita serik diperintah PH, jadi kita kita perlu terus berjuang memenangkan parti pada PRU-15.

“Sebagai ‘frontliners’ parti, kita juga harus mengangkat kembali reputasi UMNO di mata rakyat. Kita harus pulihkan kembali kegemilangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang menerajui negara, disegani kawan dan lawan. Paling penting kemenangan UMNO ini biarlah lebih bermakna dan terus berada dalam redha Allah swt,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.