COVID-19: Hanya Tiga Negeri Ada Individu Dari Kluster Sivagangga

MELAKA, 9 Ogos – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif COVID-19 dari Kluster Sivagangga, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata satu kes positif COVID-19 yang dilaporkan dari kluster sama di Selangor semalam, masih dalam siasatan, manakala dua kes di Perak merupakan kes Influenza-Like Illness (ILI).

“Sehingga semalam, kita dapati Kluster Sivagangga yang bermula di Kedah telah menular ke Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim. Oleh kerana Kubang Pasu berjiran dengan Kuala Sanglang di Perlis, maka Perlis ada kes dan yang terkini ialah Sungai Bakap di Pulau Pinang.

“Kita masih meneruskan usaha dan kita minta mana-mana individu yang merasakan diri mereka ada kontak dengan Kluster Sivagangga, bermula 13 Julai hingga sekarang untuk tampil ke hadapan, kerana kluster ini melibatkan bukan sahaja pengunjung kedai tersebut, tetapi ada antara mereka merupakan pemandu lori dan mereka balik ke kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Dua (Delima) di Batu Berendam, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengawal sepenuhnya penularan wabak COVID-19 melibatkan kluster berkenaan, menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar di kawasan terlibat.

Katanya, pengesanan kontak dan saringan melibatkan seramai mungkin yang mempunyai simpton atau bergejala berkaitan kluster Sivagangga perlu dilakukan, bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.