Bidas Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Al Jazeera: Mana Sikap Patriotik Dap? – Sharkar

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Sharkar Samsuddin membidas kenyataan pemimpin Dap kononnya kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak peduli prinsip kebebasan bersuara apabila mengambil tindakan terhadap Al Jazeera.

Jelas beliau, Dap perlu faham kerajaan tidak boleh berkompromi denggan berita palsu dan tidak benar kerana ia akan memberi impak negatif yang sangat besar.

“Kerajaan ambil tindakan sebab nak rakyat tahu bahawa apa yang Al Jazeera terbitkan adalah berita tidak benar. Soalnya sekarang bukan pasal Al Jazeera tapi agensi apapun sekiranya terbitkan berita tidak benar maka kerajaan akan ambil tindakan.

“Apa yang kerajaan buat ini tidak salah dan ia perlu diambil iktibar oleh semua pihak agar ia tidak berulang.

“Dap sepatutnya tidak mempolitikkan hal ini dan sepatutnya sebagai seorang rakyat Malaysia, Guan Eng menyokong tindakan kerajaan ini kerana Al Jazeera telah memalu dan memburukkan Malaysia,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar, bukan semua perkara boleh dipolitikkan apatahlagi rakyat sendiri marah dengan Al Jazeera.

“Di kala dunia luar memuji Malaysia yang berjaya menangani isu COVID-19 dengan baik, Dap pula menyokong Al Jazeera yang memburukkan negara. Di manakah sifat patriotik Dap? Adakah Dap tidak sayangkan negara ini dan tidak berbangga dengan kejayaan Malaysia?

“Dap harus sedar kerana berita tidak benar sebeginilah negara boleh hancur, kerana berita tidak benar juga BN yang sekian lama memerintah negara tumbang pada PRU-14. Maka ia perlu dikekang dan ditangani secara tegas,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Guan Eng menerusi kenyataan medianya mengecam tindakan kerajaan terhadap Al Jazeera.

Menurut Guan Eng,tindakan sedemikian terhadap sebuah rangkaian berita antarabangsa akan mempunyai kesan yang buruk terhadap prinsip kebebasan akhbar dan maklumat serta ke atas profesionalisme pengamal media. Ini kerana, demi mengelak daripada tindakan perundangan di masa depan, pengamal media akan terpaksa mengamalkan tapisan kendiri (self censorship).

Guan Eng juga menyifatkan tindakan kerajaan ini adalah satu penindasan dan menunjukkan bahawa PN tidak mempedulikan prinsip kebebasan akhbar dan maklumat.

Ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, Al Jazeera telah menerbitkan satu dokumentari yang bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lock-down’.

Dokumentari tersebut mendapat kecaman banyak pihak kerana ia tidak memaparkan situasi sebenar. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.